Jika Aku Jatuh Hati

Ahad, November 15, 2009

Jangan biarkan wang anda berkulat!

Zalisa Maz: Terlalu sedikit pencarum KWSP ada penama. Jangan biarkan wang simpanan anda itu berkulat. Sedangkan dalam masa yang sama waris anda terkial-kial mencari wang untuk meneruskan hidup. Anda yang sudah menjadi penghuni kubur sudah tentulah tidak memerlukan lagi wang itu, tetapi waris-waris masih perlu meneruskan hidup. Bertindaklah segera.


KUALA LUMPUR - Hanya tiga juta pencarum atau kira-kira 23 peratus daripada 12.4 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat penamaan setakat ini.

Prihatin dengan masalah tersebut, KWSP melancarkan kempen kesedaran untuk mengingatkan ahli mengenai pentingnya mereka membuat penamaan simpanan sebagai usaha melindungi kebajikan keluarga sekiranya ahli meninggal dunia.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar memberitahu, penamaan itu akan menentukan siapa yang sepatutnya menerima simpanan KWSP ahli dan juga boleh memberikan pelindungan kewangan kepada waris.

"Penamaan itu bukan sahaja boleh mempercepatkan urusan bayaran pengeluaran kepada waris malah ia dapat mengelakkan orang tersayang daripada terus menderita.

"Tanpa penamaan, waris ahli perlu mengemukakan dokumen seperti Surat Kuasa Mentadbir, Surat Probet atau Perintah Pembahagian daripada pihak berkuasa yang berkaitan untuk menyokong permohonan," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Rabu, November 04, 2009

Jom kita semarakkan bahasa rojak!


Oleh - Abd. Jalil Ali


Saya tidak tahu apa nama judul lagu itu, tetapi saya sudah mendengarnya ketika zaman kanak-kanak, lama dulu. Lirik awal lagu itu ialah: “Gunakanlah bahasa kebangsaan kita. Marilah amalkan ramai-ramai” Lagu itu kini berkumandang semula, diulang setiap hari oleh stesen-stesen RTM. Anda boleh memilih, sama ada hendak mendengar dan menghayati lagu itu hingga akhir, atau menukar ke stesen lain.

Mengapa lebih setengah abad setelah merdeka, hari ini kita terpaksa mendengar semula lagu itu? Dan kita mengadakan semula ‘Bulan Bahasa Kebangsaan’. Itu ertinya, sejak 31 Ogos 1957, kita masih gagal menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Pada hal status bahasa itu telah jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ternyata rangkap awal lirik lagu itu tidak menjadi kenyataan. Orang tidak menggunakan bahasa Melayu. Orang tidak mengamalkan bahasa itu. Ini memang telah dijangka. Sebab itu berpuluh tahun dulu sudah ada puisi ‘Keranda 152’ yang membayangkan bahasa Melayu akan lenyap.

Jangan marah pada orang lain, marahkan diri sendiri. Sebab, kita sendiri yang meletakkan bahasa kita di bawah tapak kaki, atau di bawah buntut. Menteri kita (Melayu) lebih senang bercakap bahasa Inggeris walaupun untuk rancangan bahasa Melayu ketika di TV. Orang korporat kita malu berakap Melayu sebab bahasa itu dikatakan tidak ada nilai ekonomi. Drama Melayu kita guna dialog orang putih, dialog Melayu dianggap kampungan.

Akhir-akhir ini filem Melayu kita pun pakai judul Inggeris, seperti ‘I Know What You Did Last Raya’, ‘Remp It’, ‘Cicakman’ (sampai sekarang filem-filem ini tidak ditayangkan di negara-negara orang putih!). Ada filem baru (Melayu) yang akan diterbitkan, juga menggunakan judul Inggeris, ‘My Spy’. Apakah betul judul Inggeris itu lebih komersial berbanding ‘Pengintip Ku’ atau ‘Mata-Mata Gelap Ku’, atau ‘Spy Leman’.

Saya tidak bersedih kali ini. Juga tidak perlu emosional dan marah-marah. Kita terpaksa menerima hakikat bahawa bahasa kita semakin tenggelam. Istilah-istilah nenek moyang kita akan hilang satu demi satu, diganti dengan perkataan-perkataan canggih dan popular ciptaan media. Untuk tidak ketinggalan zaman, ada baiknya kita mempelajari perkataan-perkataan baru yang kini telah diterima sebagai bahasa radio & TV.

Untuk kali ini saya hanya ingin memberitahu beberapa istilah yang telah dibakukan oleh stesen-stesen radio dan TV kita, dan kini menjadi ikutan ramai. Paling popular ialah perkataan ‘ferast’ (dari istilah Inggeris ‘frust’). Istilah Melayunya ‘kecewa’, ‘merana’. Contoh ayat: “Gadis gedik-gedik itu ferast menonggeng setelah Abang Bangla yang menjadi pakwenya pulang ke negara asal.”

‘Solid-molid’ (istilah asal Inggeris ‘solid’), istilah Melayunya ‘gempal’, ‘sendo’ (lebih merujuk kepada bentuk tubuh yang seksi). Contoh ayat: “Melihat gadis di pam minyak yang solid-molid itu, Mat Skru yang selama ini dianggap sempoi dan lentok tiba-tiba naik semangat lalu menerkam gadis itu.”

‘Cun-melecun’ (tidak pasti dari istilah mana, mungkin Sanskrit kuno!), ertinya ‘cantik’. Contoh ayat: “Jejaka jiwang yang selalu bermata kuyu seperti orang berdengung itu mengancam untuk membunuh diri apabila mengetahui makwenya yang cun-melecun itu disahkan telah dicilok oleh Mat Bangla.”

Untuk kali ini saya harap pembaca membiasakan diri dengan tiga istilah baru ini, supaya mereka lebih faham apabila menonton dan mendengar rancangan-rancangan popular di radio dan TV kita. Pada kesempatan lain saya akan memberitahu banyak lagi-istilah baku Melayu baru yang siang malam dituturkan oleh pengacara dan juruhebah kita, dan menjadi ikutan ramai. Ada pun perihal bahasa Inggeris yang selalu dituturkan oleh Menteri dan ahli korporat kita itu, ada baiknya kita amalkan juga. Kalau tidak nanti kita dianggap tidak standard.

Biarkan lirik “gunakanlah bahasa kebangsaan kita...” berkumandang setiap hari, jangan ambil berat sangat lagu itu. Lagi pun siapa peduli kalau kita tidak cakap Melayu? Siapa kisah kalau bahasa itu dipinggirkan? Teruslah kembangkan bahasa rojak, sebab bahasa jenis ini lebih disukai dan lebih sesuai. Kalau tidak gunakan bahasa songsang ini radio dan TV tidak ada peminat, dan iklan pun merosot. Jadi, rojakkanlah bahasa kita untuk dapat iklan!

Biarkan bahasa Melayu yang tidak ada nilai ekonomi dan kosong nilai komersial itu digunakan hanya sebagai bahasa perantaraan Tok Bomoh dan Pak Dukun bercakap dengan makhluk halus. Sekurang-kurangnya untuk masa ini bahasa nenek moyang kita itu masih mempunyai nilai kebomohan dan perdukunan. Apabila satu hari nanti makhluk halus pun sudah tahu bahasa Inggeris dan sudah terpengaruh dengan bahasa rojak, bomoh dan dukun pun tidak lagi ‘menurun’ menggunakan bahasa Melayu.

Jampi serapahnya akan berbunyi begini: “Wahai my friend jin, I nak minta you pulihkan semangat girl yang solid-molid di rumah Brother Mahat tu. Dah over six months dia sakit, parents dia betul-betul dah frust menonggeng. Please, jin...Money no problem!” Mungkin jin akan menjawab: “Well, Tok Moh, I will try my best.” Kalau bomoh dan dukun pun tidak lagi menggunakan bahasa Melayu baku, ketika itu habislah bahasa kita!

Zalisa Maz: Persoalan yang menarik untuk difikirkan. Saya ambil tulisan menarik ini dari akhbar sinar harian online.


Selasa, Oktober 13, 2009

Suara Novelis Muda


Oleh HAFIZ HAMZAH jelirda@gmail.com (wwww.jelir.wordpress.com)

Ia hadir bersama renjatan, kejutan dan kontroversi yang menggoncang khalayak sastera Jepun. Sebilangan besarnya masih lagi daripada kelompok konservatif dalam maksud hasil kerja sastera dan penulisan
HITOMI KANEHARA berhenti daripada mengikuti sistem pendidikan rasmi Jepun pada usia 11 tahun. Tidak tahu apa yang membuatkannya mengambil keputusan sebegitu. Apa yang pasti, itu adalah langkah paling berani yang pernah diambil oleh gadis muda itu dan ia tidak berakhir di situ.

Dia kemudiannya lari dari rumah. Mungkin hidup bergelandangan di lorong-lorong tengah Tokyo atau mungkin juga menumpang di mana-mana. Dari situ, lahir latar yang mengejutkan seperti yang dipaparkan melalui novel tunggalnya ini, Hebi ni piasu. Kemudiannya diterjemah oleh David James Karashima ke dalam bahasa Inggeris dengan judul Snakes & Earrings.

Kanehara, dalam diam-diam ketika dalam pelarian dari rumahnya itu tidak lepas daripada mencatatkan perkara-perkara yang diingini. Dia juga diam-diam mengirim e-mel kerja-kerja tulisannya itu kepada bapanya, seorang profesor dan penterjemah buku kanak-kanak.

Kontroversi

Menerusi perhubungan itu, bapanya mengumpul dan menyunting tulisan-tulisan Kanehara yang dihantar. Hasilnya, pada 2004, lahirlah novel pertama itu di dalam bahasa Jepun.

Terbitnya novel itu bukan sebagai sebuah novel Jepun yang sekadar menyemakkan rak di toko-toko buku. Ia hadir bersama renjatan, kejutan dan kontroversi yang menggoncang khalayak sastera Jepun. Sebilangan besarnya masih lagi daripada kelompok konservatif dalam maksud hasil kerja sastera dan penulisan.

Ia secara sedar terus diangkat sebagai satu suara generasi baru. Walau bagaimana sukar pun untuk dipersetujui semua, novel itu merupakan sebuah karya yang wajar disertakan ke dalam khazanah sastera Jepun dan Asia. Kemuncak kucar-kacir itu ialah novel terbabit diangkat sebagai pemenang hadiah sastera tertinggi Jepun, Hadiah Akutagawa pada tahun yang sama.

Menyelami
Daripada pengalaman dan pemerhatiannya, hidup di luar tatacara dan kawalan isi rumah pada usia semuda itu, Kanehara menyelami satu subbudaya yang terbit di tengah-tengah segala macam kepesatan budaya yang berlaku Tokyo waktu itu.

Matanya tajam memerhati kelompok tersebut, tangannya menulis dengan tanpa ragu-ragu apa yang dirasakan perlu dan imaginasinya melayar liar melangkau norma dan pantang larang yang diwujudkan oleh bayang-bayang yang dimomok sebagai menakutkan oleh masyarakat kebanyakan. Inilah antara ciri penulis yang ingin berkembang menjadi seorang penulis yang baik.

Lui, watak sentral dalam Snakes & Earrings mendepani kehidupan seharian sebagai remaja yang berada dalam lingkung waktu dan kejadian yang radikal. Ayat pembuka novel itu berbunyi: "Tahu apa itu lidah bercabang?" Daripada ayat tersebut, Kanehara tidak membayangkan kiasan atau simbolik.

Dia sebenarnya memang merujuk kepada sejelir lidah orang yang dibelah dengan tindik dan gelung yang semakin lama semakin besar dan akhirnya menceraikan hujung lidah dan menjadi dua. "Ya, seperti yang dimiliki ular atau cicak," sambung dialog itu.

SNAKES & EARRINGS menjentik elemen baru dalam dunia kesusasteraan Jepun.

Realiti

Kanehara selepas itu menyelami subbudaya tersebut. Sama seperti yang dapat disaksikan kini daripada realiti dan cara hidup muda-mudi Tokyo yang mengemari sisi ekstrem gaya dan penampilan, sekali gus membawa kepada perubahan cara hidup dan budaya dalam kalangan mereka.

Lui menjerumuskan diri dengan minat terhadap tatu, membayar dengan hubungan seks, bercinta, pil dan sebagainya. Dengan novel itu, Kanehara memang ingin mempotretkan komuniti muda-mudi di sana tanpa segan silu.

Walaupun plot dan naratifnya tidak seberapa mengejutkan, apa yang menjadikan Snakes & Earrings penting untuk diselidiki ialah keberaniannya membawakan kesedaran tentang hakikat semasa kelompok budaya itu dalam gaya bahasa yang juga baru.

Dengan diimaginasikan semula oleh Kanehara sehingga ia berakhir sebagai sebuah pencapaian karya yang mempunyai gaya dan perhatian yang lain.
Sebagai orang muda, Kanehara berusia 21 tahun ketika menerbitkan novel itu. Ia menjadi satu contoh yang perlu dilihat dalam membincangkan kerja-kerja penulis baru, termasuk dalam kalangan penulis baru Malaysia.

Karya tulisan itu ialah satu contoh catatan yang memaparkan perkara yang terkandung dalam lingkung masa dan ruang penulisnya secara kreatif.
Snakes & Earrings Hitomi Kanehara Vintage Originals 2005.

Berbeza

Kanehara tidak sekadar mengulang-ulang semangat sama seperti sudah pernah dilakukan oleh penulis-penulis sebelumnya, yang mungkin berada dalam lingkung sosial yang berbeza daripadanya.

Ini adalah perkara yang dominan terselit dalam novel berkenaan. Walaupun akan ada yang menyelar nilai-nilai hidup yang dibawakan oleh watak-watak dalam novel itu sebagai keterlaluan dan tidak bermoral, tetapi sebagai sebuah hasil kerja sastera moden oleh penulis baru era milenium, ia tidak boleh dipinggirkan. Suka atau tidak, inilah suara yang tanpa sedar sedang mendengung di telinga.

Kanehara menunjukkan kepada kita bahawa untuk menjadi novelis era ini, lagu dengan rentak dan bahasa baru perlu dinyanyikan. Walaupun tiada apa-apa idea yang cuba disampaikan, Snakes & Earrings tetap mahu menjerit nyaring meminta perhatian terhadap kelainan yang terkandung.

Dalam konteks Malaysia, novelis baru sebenarnya harus bekerja dua tiga kali ganda lebih tekun daripada novelis di tempat lain untuk menghayati semangat ini, sebelum mengambil keputusan untuk menulis novel semula.

Isnin, September 14, 2009

Salam Aidilfitri

Selamat menyambut hari raya, kepada semua umat Islam yang berpuasa penuh sahaja, ya. Kecuali orang-orang yang dikecualikan. Tahniah kerana berjaya dalam jihad.

Sempena hari raya juga saya ingin memohon maaf kepada semua yang pernah saya sakiti hatinya dengan sengaja ataupun tidak. Maaf zahir dan batin :)

Entah mengapa malas sungguh sejak akhir-akhir ini hendak menulis di sini. Semoga selepas raya nanti sinar kerajinan muncul kembali :D

Sabtu, September 12, 2009

Perbezaan Antara Penganut Islam dan Bukan Islam

Islam telah meletakkan satu prinsip agama yang penting iaitu kewajipan berbeza dengan amalan golongan bukan Islam, baik dari segi kepercayaan, cara ibadah mahupun budaya hidup. Islam menuntut umatnya supaya tidak meniru cara ibadat dan budaya hidup golongan bukan Islam kerana peniruan itu dibimbangi boleh membawa kepada asimilasi agama dan budaya yang akhirnya akan menghakis identiti umat dan seterusnya melemahkan jati diri mereka.

Asas bagi prinsip ini terkandung dalam banyak nas-nas al-Qur’an dan as- Sunnah, antaranya firman Allah swt dalam surah al- Jaathiah, 45:18. Yang bermaksud:

“Kesudahannya, Kami jadikan engkau ( Muhammad ) menjalankan satu syariat ( yang cukup lengkap ) dari perkara agama, maka turutlah syariat itu, dan janganlah engkau menurut hawa nafsu orang yang tidak mengetahui.”

“Orang yang tidak mengetahui’ di sini dimaksudkan sebagai semua golongan bukan Islam kerena mereka adalah kumpulan orang yang jahil dengan syariat Nabi Muhammad saw. Terdapat banyak hadis Nabi saw yang menjadi asas bagi prinsip ini, sehingga ada ulama yang mengumpulkan lebih daripada 30 buah hadis sahih mengenainya, seperti:

1. Larangan Nabi saw terhadap umatnya daripada menggunakan serunai dan loceng sebagai seruan solat pada zaman awal Islam kerana ia menyerupai cara puak Yahudi dan Nasrani sehinggalah Nabi saw diwahyukan dengan azan ( Shahih Sunan Abi Daud, no : 498 )

2. Larangan Nabi saw daripada solat pada waktu matahari sedang terbit dan waktu sedang terbenam kerana ia adalah waktu sujud golongan penyembah matahari ( Shahih Muslim, no : 832 )

3. Larangan Nabi saw daripada menjadikan perkuburan para anbiya’ dan shalihin sebagai tempat ibadah kerana yang demikian itu adalah amalan golongan Yahudi dan Nasrani ( Shahih Muslim, no : 530-532 )

4. Larangan Nabi saw daripada bersolat dengan berbungkus sehelai kain tanpa mengilasnya di tempat kilasan kerana yang demikian itu adalah perbuatan golongan Yahudi. ( Sahih Sunan Abi Daud, no : 635 ).

5. Suruhan Nabi saw supaya umatnya sekali sekala bersolat sambil memakai selipar dan khuf kerana puak Yahudi tidak mengharuskannya ( Shahih Sunan Abi Daud, no,: 652 )

6. Larangan Nabi saw daripada duduk bertongkat dengan tangan kiri dalam solat kerana yang demikian itu adalah cara duduk puak Yahudi ( Mustadrak al-Hakim, lihat: Jilbab al-Mar’ah, hal:175 )

7. Peringatan Nabi saw terhadap umatnya supaya bersahur bila berpuasa kerana golongan ahli kitab berpuasa tanpa bersahur ( Shahih Muslim, no: 1096 )

8. Saranan Nabi saw supaya umatnya menyegerakan berbuka puasa kerana golongan Yahudi dan Nasrani melewatkannya (Musnad Ahmad, lihat: al-Jilbab al-Mar’ah, hal:175)

9. Saranan Nabi saw supaya umatnya berpuasa ‘Asyura’ pada hari kesembilan dan kesepuluh kerana golongan Yahudi dan Nasrani hanya berpuasa pada hari kesepuluh sahaja ( Shahih Muslim, no: 1134 )

10. Saranan Nabi saw supaya jemaah haji bergerak dari Mudzalifah ke Mina sebelum terbit matahari kerana golongan Musyrikin biasanya bergerak selepas matahari terbit melepasi puncak Bukit Thubair di Makkah ( Shahih Muslim, no: 3626 )

( Dipetik dari Majalah I, Kumpulan Karangkraf, Bil. 83,September 2009, m/s 47 )

~e-mel daripada sahabar SIM~

Khamis, Ogos 27, 2009

Hukuman sebat ditangguhkan

Zalisa Maz: Islam agama berdasarkan wahyu bukan agama berdasarkan akal. Apabila penganut Islam sendiri mahu agama itu mengikut logik kepala otak sendiri maka lahirlah bermacam-macam pendapat yang bercanggah dengan agama. Apabila pesalah lelaki dirotan tidak ada sesiapa yang bising-bising tetapi apabila pesalah perempuan, masing-masing hendak tunjuk dialah kononnya hero penyelamat.

Fikiran nakal saya mengatakan inilah masanya hendak tunjuk pada perempuan yang sibuk-sibuk memperjuangkan hak kesamarataan jantina mengikut akal mereka. Apa yang lelaki boleh, mereka pun boleh. Hah, apa tunggu lagi? Lelaki boleh disebat mengapa perempuan tidak boleh?


Oleh Idris Musa

idris@hmetro.com.my


DARI dahulu lagi Islam dibenci, manakala umatnya dicerca. Malah, pada kaca mata Barat, orang Islam mempunyai keperibadian yang menakutkan, agresif dan ekstrem. Semuanya kerana perkataan Islam.

DARI dahulu lagi Islam dibenci, manakala umatnya dicerca. Malah, pada kaca mata Barat, orang Islam mempunyai keperibadian yang menakutkan, agresif dan ekstrem. Semuanya kerana perkataan Islam.

Belum pun pulih, imej Islam tercalar lagi dengan gambaran kononnya Islam mengamalkan kezaliman, penindasan dan tiada keadilan terhadap wanita seperti kes Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32.

Kes model yang dijatuhi hukuman maksimum denda RM5,000 dan enam kali sebatan rotan selepas disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 kerana mengambil minuman keras terus menjadi polemik.

Tindakan Hakim Syarie, Datuk Abdul Rahman Yunus menjatuhkan hukuman mengikut Seksyen 4 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Pindaan) 1987 nyata tidak disenangi sesetengah pihak.

Jika melayari laman blog, pelbagai pandangan berbeza mengenai kes ini. Ada blogger menganggap kes ini tidak terlalu serius berbanding kes Mat Rempit.

Ada pula mempertikaikan kewajaran menjatuhkan hukuman sebat terhadap umat Islam yang meminum arak, malah mendakwa kemungkinan hakim tersilap menjatuhkan seksaan.

Pendek kata banyak pihak berpendapat hukuman terbabit tidak adil, tidak saksama dan menindas wanita.

Tetapi, dalam masa yang sama, apakah campur tangan terhadap hukuman yang dijatuhkan itu adil sedangkan urusan agama di bawah bidang kuasa negeri?

Kadangkala kita malu kerana orang Islam sendiri yang jiwa Islamnya masih kosong menyindir, menempelak, memperlekeh dan mempertikaikan hukum Islam.

Bagi Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), isu Kartika menjadi besar kerana pesalahnya wanita sedangkan sebelum ini ada pesalah dihukum enam sebatan, tetapi tidak dipolemikkan kerana mereka lelaki.

Presidennya, Mohamad Isa Abd Ralip, berkata masih ramai tidak faham mesej disampaikan hakim syarie itu.

Beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan itu mampu membuka mata banyak pihak bahawa Islam serius mencegah kemungkaran.

"Prinsip hukuman dalam Islam adalah untuk memberikan pengajaran kepada pesalah dan masyarakat Islam membenci arak.

"Tetapi, tanpa disedari masyarakat diberikan kefahaman salah berkaitan pelaksanaan sebatan ke atas pesalah itu dengan menyamakan dengan pesalah jenayah sivil.

"Memang hukuman sebat bagi pesalah yang melakukan jenayah rogol, mengedar dadah dan liwat di mahkamah sivil amat menyakitkan kerana sebatan itu mengakibatkan luka luar dan dalam.

"Ia mengambil masa lebih sebulan untuk sembuh dan parutnya kekal selama-lamanya," katanya yang dipetik melalui portal persatuan terbabit.

Persoalannya, mengapa mahu membandingkan hukuman sebatan di Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil sedangkan kaedahnya berbeza?

"Inilah masalahnya, mereka tidak memahami undang-undang berkaitan Mahkamah Syariah, tetapi mahu bercakap mengenai undang-undang Islam," katanya.

Sebatan mengikut undang-undang Islam dilakukan dengan kekuatan sederhana dan selepas melakukan satu sebatan, pelaksana hendaklah mengangkat alat sebatan ke atas dan tidak menariknya (melibas).

"Kebiasaannya sebatan hanya meninggalkan kesan merah dan tidak memudaratkan sehingga mampu memecahkan kulit," katanya.

Hukuman sebat terhadap pesalah wanita pernah dilaksanakan di Aceh yang menguatkuasakan undang-undang separa syariah pada 2001.

Hukuman sebat sebanyak tujuh kali dilaksanakan terhadap empat pesalah wanita di khalayak ramai buat pertama kali pada Jun 2005.

Mohamad Isa berkata, umat Islam patut menyokong langkah pihak berkuasa membanteras arak, bukannya sesuka hati mencampuri sebarang keputusan Mahkamah Syariah.

Keputusan Mahkamah Syariah bersandarkan kepada peruntukan yang dibenarkan Perlembagaan Malaysia di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 1984.

Profesor di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA), Datuk Mahmud Zuhdi Abd Majid, berkata umat Islam keliru mengenai isu berkenaan.

Menurutnya, golongan yang mendakwa keputusan dan hukuman terbabit tidak adil perlu mengemukakan bukti, bukannya berkata sesuka hati mengikut emosi kerana ia memberi implikasi negatif kepada undang-undang Islam.

"Orang yang berkata hukum itu tidak adil, dia kena buktikanlah di mana yang dikatakan tidak adil.

"Undang-undang ini kita sudah bincang, luluskan dan diberikan contoh pelaksanaan sebat iaitu bukan sebatan keterlaluan seperti mahu membunuh orang.

"Jadi, saya hairan mengapa riuh rendah di sana sini mengenai hukuman sebat ini apatah lagi ia di bawah kuasa pentadbiran negeri, mengapa mahu campur tangan?," katanya.

Menurutnya, hal ehwal agama Islam di bawah bidang kuasa sultan dan selagi pihak istana berdiam diri, selagi itulah banyak pihak cuba mencampuri urusan berkenaan.

Beliau percaya kegawatan yang berlaku sehari dua ini sehingga mengundang pelbagai komentar semuanya disebabkan prejudis.

"Kalau kita kata prejudis, kita cuba lihat banyak kes lain misalnya kes curi yang kecil di pasar raya, tetapi hukumannya tidak kurang juga beratnya, kena penjara dan tidakkah itu tidak adil.

"Saya cukup kecewa dengan apa yang berlaku hari ini. Tak munasabah juga tiada kepakaran untuk melakukan pelaksanaan hukuman itu kerana jika mahu, semuanya boleh dilakukan.

"Ini semua menggambarkan tiada rasa simpati kita terhadap pelaksanaan undang-undang Islam.

"Kes ini menimbulkan tanda tanya sama ada kita mahu melaksanakan undang-undang Islam atau sebaliknya," katanya.

Beliau menjelaskan hukuman sebat menggunakan rotan itu adalah takzir sebagai pengajaran, bukannya penderaan dan jauh sekali penindasan seperti dimomokkan barat.

Menurutnya, dunia barat sentiasa mengganggu wanita, tetapi masyarakat tidak pula mempertikaikan, malah langsung tidak timbul pun soal keadilan dan kezaliman.

Islam sebagai agama wahyu adalah lengkap dan jika apa yang dilakukan itu mengikut al-Quran dan Sunnah, sepatutnya tiada pihak boleh mempertikaikan hukuman berkenaan.

Isnin, Ogos 24, 2009

AJK nak beribadahkah, nak makan sedekah?

Pukul 4.00 pagi, sebaik sahaja bangun dari tidur kelam kabut saya menyiapkan rencah untuk memasak. Sedang sibuk memasak tiba-tiba terdengar bunyi telefon menjerit. Hati berasa bimbang kerana awal pagi telefon berbunyi, telefon peribadi pula, pasti ada kecemasan. Cepat-cepat saya menjawab panggilan dari seorang blogger.

"Buat apa, tidur lagi?"
"Ish, aku chef profesional awal pagi dah bangun."
"Ha ha ha, pukul berapa bangun?"
"4." Dalam hati saya tersenyum sendiri. Bangun awal bukan sebab saya ni tukang masak yang rajin dan hebat tetapi kerana saya belum solat Isyak. Malam semalam tidur awal kerana tiba-tiba berasa sakit pada rahang.

Setelah kami bersosek-sosek, tiba-tiba blogger itu meluahkan rasa kurang senangnya kepada AJK masjid. Setiap kali hendak masuk Ramadhan itulah perkara yang dirungutkannya. AJK masjid menetapkan bayaran bagi menyediakan juadah berbuka puasa. Dia juga seorang AJK tetapi dia tidak pernah bersetuju dengan sikap AJK yang bersikap seperti memaksa orang lain menghulurkan sedekah. Sudah namanya sedekah mana boleh ditetapkan berapa jumlahnya, begitulah rungutannya pagi itu.

Dia bertanya bagaimana keadaan di tempat saya, saya jawab pernah juga perkara seperti itu berlaku, tetapi apabila orang ramai merungut, surau tidak lagi mengutip wang dari orang ramai. Apa sahaja yang ada itulah juadah berbuka puasa di surau.

"Begitulah sunnah yang digalakkan. Beri orang makan sekadar untuk berbuka puasa, bukan beri orang makan sampai tak larat nak bangun solat Maghrib kerana perut dah mentereng, "blogger itu menyatakan perasaannya lagi.

Pagi ini blogger itu menelefon lagi. Katanya dia dicabar oleh AJK yang bertanggungjawab agar menguruskan hal juadah berbuaka puasa jika tidak bersetuju dengan cara orang yang diamanahkan sekarang melakukan tugas.

Jawab blogger itu, saya bukannya hendak bergaduh, saya hanya menyampaikan rungutan orang ramai yang rasa terbeban dengan jumlah bayaran yang diminta. Orang yang merungut itu tidak berbuaka puasa di masjid tetapi terpaksa memberi sejumlah bayaran. Orang yang berbuka di masjid pula teringin nak makan sedap-sedap. Alahai, tidak ada perasaan agaknya. Tidak rasa malu makan hasil sedekah orang. Lainlah kalau tak mampu nak beli makanan sendiri. Ini kereta masing-masing, dua biji menjalar depan rumah.

Blogger itu terus berleter pada saya, "Makan ala kadar apa salahnya, sekadar hendak berbuka puasa beramai-ramai kerana hendak mengeratkan talisilaturahim di bulan yang penuh berkat? Jika hendak mentekedarah selepas itu pulanglah ke rumah masing-masing selepas solat, makanlah sampai kau tergolek tak larat angkat perut, duit engkau tak ada siapa yang boleh menyibuk. Ini, duit orang yang hendak dikutipnya. Ah, susah hendak cakap, tahun lepas ini juga yang saya rungutkan, saya malu dan was-was hendak berbuka puasa di masjid. Sebab saya tahu orang yang beri duit itu terpaksa. Bukan atas kerelaan. Bila saya cakap begitu AJK yang bertanggungjawab terus menyangkal.

"Mana ada orang yang merungut. Mereka semua bayar. Siapa di sini yang tidak setuju?" Cabar AJK itu.

"Adakah logik dia bertanya pada Ajk yang bersetuju, siapa yang tidak setuju? Orang-orang yang tidak bersetuju bukan AJK. Bodoh betul! Mereka merungut pada saya bukan pada AJK itu, " adu blogger itu terus.

"Ikut sunnah, kurma dan air sahaja. Bukankah itu memudahkan orang ramai? Lagi pun bukan semua yang hulur duit itu mampu," blogger yang tinggal di rumah flat itu berkata lagi. "Saya memanglah tidak kisah sebab saya pun berbuka puasa di masjid. Tentulah saya suka makan sedap-sedap."

"Sedekah setahun sekali pun kedekut," rungut AJK itu lagi.

Zalisa Maz: Inilah akibatnya apabila umat Islam menjadikan bulan Ramadhan bulan pesta makan-makan. Tidak mahu keluarkan duit sendiri, ambil duit orang lain dengan cara terhormat. Orang ramai nampak macam bersedekah tetapi sedekah yang dipaksakan. Alahai...

Ahad, Ogos 23, 2009

Kalau Allah baik, mengapa cipta neraka?

Ini kisah benar. kisah seorang gadis Melayu, beragama Islam, tapi cetek pengetahuan tentang agama. Ceritanya begini, di sebuah negeri yang melaksanakan dasar 'Membangun Bersama Islam', kerap kali pihak berkuasa tempatan menjalankan pemeriksaan mengejut di premis-premis perniagaan dan kompleks beli-belah, untuk memastikan para pekerja di premis berkenaan menutup aurat.

Dalam satu insiden, ketika operasi yang dijalankan sekitar 2005, seorang gadis yang bekerja di salah satu lot premis perniagaan di Pasaraya Billion telah didapati melakukan kesalahan tidak menutup aurat. Maka dia pun kena denda la... setelah surat saman dihulurkan oleh pegawai PBT, ustaz ni pun bagi la nasihat, "..lepas ni diharap saudari insaf dan dapat mematuhi peraturan..peraturan ni bukan semata-mata peraturan majlis perbandaran, tapi menutup aurat ni termasuk perintah Allah. Ringkasnya, kalau taat segala perintahNya, pasti Dia akan membalas dengan nikmat di syurga..kalau derhaka tak nak patuhi perintahNya, takut nanti tak sempat bertaubat, bakal mendapat azab di neraka Allah. Tuhan Maha Penyayang, Dia sendiri tak mahu kita campakkan diri ke dalam neraka... "

Gadis tersebut yang dari awal mendiamkan diri, tiba-tiba membentak "Kalau Tuhan tu betul-betul baik, kenapa buat neraka? Kenapa tak boleh sediakan syurga je? Macam tu ke Tuhan Maha Penyayang?" Mungkin dari tadi dia dah panas telinga, tak tahan dengar nasihat ustaz tu..dah la hati panas kena denda sebab dia tak pakai tudung..

Ustaz tu terkedu sekejap. Bahaya budak ni. Kalau dibiarkan boleh rosak akidah dia. Setelah habis gadis tu membebel, ustaz tu pun jawab: "Dik, kalau Tuhan tak buat neraka, saya tak jadi ustaz. Berapa sen sangat gaji saya sekarang. Baik saya jadi tokey judi, atau bapa ayam.. hidup senang, lepas mati pun tak risau sebab gerenti masuk syurga. Mungkin awak ni pun saya boleh culik dan jual jadi pelacur. Kalau awak nak lari, saya bunuh je. Takpe, sebab neraka tak ada. Nanti kita berdua jumpa lagi kat syurga..Kan Tuhan tu baik?"

Gadis tu terkejut. Tergamak seorang ustaz cakap macam tu? Sedang dia terpinga-pinga dengan muka confused, ustaz tu pun jelaskan: "perkara macam tadi akan berlaku kalau Tuhan hanya sediakan syurga. Orang baik, orang jahat, semua masuk syurga..maka apa guna jadi orang baik? Jadi orang jahat lebih seronok. Manusia tak perlu lagi diuji sebab semua orang akan 'lulus' percuma. Pembunuh akan jumpa orang yang dibunuh dalam syurga..perogol akan bertemu lagi dengan mangsa rogol di syurga..lepas tu boleh rogol lagi kalau dia nak..takde siapa yang terima hukuman. Sebab Tuhan itu 'baik'.Adakah Tuhan macam ni yang kita nak? Awak rasa, adil ke?"; tanya ustaz.

"Ah..mana adil macam tu. Orang jahat takkan la terlepas camtu je.." rungut si gadis.

Ustaz tersenyum dan menyoal lagi: "Bila tuhan tak adil, boleh ke dianggap baik?"

Gadis tu terdiam.

Ustaz mengakhiri kata-katanya: "Adik, saya bagi nasihat ni kerana kasih sesama umat Islam. Allah itu Maha Penyayang, tapi Dia juga Maha Adil. Sebab tu neraka perlu wujud. Untuk menghukum hamba-hambaNya yang derhaka, yang menzalimi diri sendiri dan juga orang lain. Saya rasa awak dah faham sekarang. Kita sedang diuji kat atas dunia ni. Jasad kita bahkan segala-galanya milik Allah, maka bukan HAK kita untuk berpakaian sesuka hati kita. Ingatlah; semuanya dipinjamkan olehNya, sebagai amanah dan ujian..semoga kita dapat bersabar dalam mentaati segala perintahNya, untuk kebaikan diri kita jugak. Assalamu'alaikum.

Zalisa Maz: Saya ambil dari e-mel yang dikirim oleh seseorang yang tidak saya kenali. Terima kasih kerana info ini menarik. Cuma nama pasaraya itu sahaja yang saya tidak pernah dengar. Mungkin Blogger Ajnie tahu :)

Isnin, Ogos 10, 2009

AIRMATA RASULULLAH SAW...

Zalisa Maz: Kisah ini sangat menyentuh hati, ramai yang sudah tahu tetapi sengaja saya salin tampal di sini supaya dibaca lagi dan lagi.


Tiba-tiba dari luar pintu terdengar seorang yang berseru mengucapkan salam. 'Bolehkah saya masuk?' tanyanya. Tapi Fatimah tidak mengizinkannya masuk, 'Maafkanlah, ayahku sedang demam', kata Fatimah yang membalikkan badan dan menutup pintu.

Kemudian ia kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka mata dan bertanya pada Fatimah, 'Siapakah itu wahai anakku?'
'Tak tahulah ayahku, orang sepertinya baru sekali ini aku melihatnya,' tutur Fatimah lembut. Lalu, Rasulullah menatap puterinya itu dengan pandangan yang menggetarkan.

Seolah-olah bahagian demi! bahagian wajah anaknya itu hendak dikenang.

'Ketahuilah, dialah yang menghapuskan kenikmatan sementara, dialah yang memisahkan pertemuan di dunia.
Dialah malaikatul maut,' kata Rasulullah, Fatimah pun menahan ledakkan tangisnya. Malaikat maut datang menghampiri, tapi Rasulullah menanyakan kenapa Jibril tidak ikut sama menyertainya.

Kemudian dipanggilah Jibril yang sebelumnya sudah bersiap di atas langit dunia menyambut ruh kekasih Allah dan penghulu dunia ini.

'Jibril, jelaskan apa hakku nanti di hadapan Allah?', tanya Rasululllah dengan suara yang amat lemah.
'Pintu-pintu langit telah terbuka, para malaikat telah menanti ruhmu.
'Semua syurga terbuka lebar menanti kedatanganmu,' kata Jibril.
Tapi itu ternyata tidak membuatkan Rasulullah lega, matanya masih penuh kecemasan. 'Engkau tidak senang mendengar khabar ini?', tanya Jibril lagi.
'Khabarkan kepadaku bagaimana nasib umatku kelak?'
'Jangan khawatir, wahai Rasul ! Allah, aku pernah mendengar Allah berfirman kepadaku: 'Kuharamkan syurga bagi siapa saja, kecuali umat
Muhammad telah berada di dalamnya,' kata Jibril.
Detik-detik semakin dekat, saatnya Izrail melakukan tugas. Perlahan ruh Rasulullah ditarik.

Nampak seluruh tubuh Rasulullah bersimbah peluh, urat-urat lehernya menegang. 'Jibril, betapa sakit sakaratul maut ini.'
Perlahan Rasulullah mengaduh. Fatimah terpejam, Ali yang disampingnya menunduk semakin dalam dan Jibril memalingkan muka.

'Jijikkah kau melihatku, hingga kau palingkan wajahmu Jibril?'
Tanya Rasulullah pada Malaikat pengantar wahyu itu.
'Siapakah yang sanggup, melihat kekasih Allah direnggut ajal,' kata Jibril.
Sebentar kemudian terdengar Rasulullah mengaduh, karena sakit yang tidak tertahankan lagi.

'Ya Allah, dahsyat nian maut ini, timpakan saja semua siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku.'
Badan Rasulullah mulai dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi.
Bibirnya bergetar seakan hendak membisikkan sesuatu, ! Ali segera mendekatkan telinganya. 'Uushiikum bis shalati, wa maa malakat aimanuku'
'peliharalah shalat dan peliharalah orang-orang lemah di antaramu.'


Diluar pintu tangis mulai terdengar bersahutan, sahabat saling berpelukan.
Fatimah menutupkan tangan di wajahnya, dan Ali kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah yang mulai kebiruan.

'Ummatii,ummatii,ummatiii?' - 'Umatku, umatku, umatku'
Dan, berakhirlah hidup manusia mulia yang memberi sinaran itu.
Kini, mampukah kita mencintai sepertinya?
Allahumma sholli 'ala Muhammad wa baarik wa salim 'alaihi

Betapa cintanya Rasulullah kepada kita.

~emel dari seorang yang tidak saya kenali.

Ahad, Ogos 09, 2009

Wacana ilmiah Pemuda PAS-Umno tak jadi kenyataan?

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS akan menganggap Pemuda Umno "tak berani untuk berwacana" jika tidak menjawab surat berkaitan penubuhan jawatankuasa teknikal bagi menjayakan wacana ilmiah membabitkan ketua kedua-dua pergerakan itu menjelang bermulanya bulan Ramadan.

Malah sayap PAS itu akan beranggapan bahawa "perjuangan Umno bertentangan dengan Islam" jika tiada maklum balas daripada Pemuda Umno.

"Kalau dalam seminggu dua ini tiada jawapan, kami akan anggap Pemuda Umno tidak berani, tidak berminat untuk berwacana," kata Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Kamaruzaman Mohamad ketika dihubungi mStar Online.

Kamaruzaman yang dilantik menganggotai jawatankuasa teknikal bagi pihak Pemuda PAS mengesahkan yang pihaknya telah membincangkan soal berkenaan pada mesyuarat bulanan yang diadakan semalam.

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya masih mengharapkan agar akan memperoleh jawapan balas daripada Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk melantik wakilnya menduduki jawatankausa teknikal.

"Kami masih menunggu dan kami berharap pihak Khairy akan menjawab," katanya.

Sebagai Setiauasaha Pemuda PAS dan anggota jawatankuasa teknikal, Kamaruzaman telah menulis surat kepada Khairy dua minggu lalu mengenai pembentukan jawatankuasa itu dan meminta Pemuda Umno juga menamakan wakil pihak mereka.

Bagaimanapun Khairy mahu mengadakan pertemuan empat mata dengan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan Al-tantawi sebelum meneruskan wacana ilmiah yang dicadangakan itu.

Menurut Khairy, beliau mahu berjumpa dengan Nasrudin untuk bertanyakan tujuan sebenar wacana tersebut diadakan dan mendengar sendiri daripada dari isi hati Ketua Pemuda PAS itu.

"Tak perlu ada Setiausaha dia atau Setiausaha saya, hanya saya dengan dia. Tapi pertemuan, Khairy jumpa dengan Nasrudin bukan muzakarah saya cuma ingin tahu apa yang dia (Nasrudin) hendak," kata beliau.

Khairy juga telah menulis sepucuk surat kepada Nasrudin pada Jun lalu untuk mengadakan pertemuan dengan Ketua Pemuda PAS itu.

Bagaimanapun, tegas Khairy, Nasrudin tidak menjawab surat tersebut sebaliknya beliau telah mengarahkan Setiausaha Pemuda PAS, Kamaruzaman Mohamad menulis kepadanya.

Pada 1 Julai lalu, Dewan Pemuda PAS menjemput Pergerakan Pemuda Umno pusat untuk mengadakan wacana ilmiah bagi membincangkan isu-isu yang menjadi polemik di negara ini.

Nasrudin telah mencadangkan tajuk "Benarkah Perjuangan Umno Tidak Bertentangan Dengan Islam".

Perkara-perkara yang akan difokuskan dalam wacana itu adalah berhubung isu-isu berbangkit termasuk soal prinsip dan hala tuju perjuangan bersama termasuk yang membabitkan umat Islam di negara ini.

Kamaruzaman bimbang kemungkinan wacana yang disyorkan itu tidak dapat diadakan sebelum bermulanya bulan Ramadan kerana masa sudah suntuk.

Lagi pun katanya, pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir akan diadakan dalam waktu terdekat.

"Nampaknya jika pun dipersetujui wacana hanya dapat diadakan selepas Aidilfitri," katanya.

Wacana itu ditangguhkan untuk perbincangan lanjut sehingga berakhirnya pilihan raya kecil Dewan Undangan Manek Urai bulan lalu.

~mstar

Sabtu, Ogos 08, 2009

Balasan pukul junior

Arman, pelajar sekolah agama, meringkuk

di dalam penjara sejak usia 17 tahun kerana memukul mati seorang pelajar tingkatan tiga.




ARMAN, berusia 22 tahun, berbadan kecil serta berkulit hitam manis. Sebelum ini, dia ialah pelajar sebuah sekolah agama di selatan tanah air.

Ibu bapanya menghantar Arman ke sekolah itu dengan harapan dia mendapat pendidikan dunia dan akhirat yang seimbang.

Namun, satu kesilapan hampir memusnahkan hidup Arman.

Tindakannya memukul seorang pelajar junior tingkatan tiga di asrama sekolah menyebabkan dia meringkuk di dalam penjara seawal umur 17 tahun.

Sewaktu ditemui di Penjara Kajang, Selangor, Arman tenang dan bersahaja. Perbualan selama hampir sejam itu berlalu serius. Walaupun adakalanya penulis bergurau, tiada reaksi senyuman daripada Arman.

Mengimbas kembali pengalaman lalu, Arman menceritakan: “Pada masa itu, pelajar baru tingkatan tiga mendaftar ke sekolah. Seperti biasa, pelajar junior akan memasuki ‘sesi buli’ oleh pelajar senior.

“Biasanya mereka akan diminta membelikan makanan dan peralatan sekolah, serta membasuh pakaian dan menggosok baju kami.

“Ia bukannya berniat jahat sebaliknya supaya kami lebih mengenali antara satu sama lain bila tamat minggu orientasi tersebut,” kata Arman.

Malangnya, satu insiden di asrama sekolah telah mengubah 360 darjah kehidupannya.

“Ada seorang pelajar junior bernama Lukman. Sejak dia masuk dan tinggal bersama di bilik asrama, sikapnya tidak menyenangkan pelajar-pelajar senior.

“Degil dan keras kepala. Dia berlagak mengalahkan seorang senior dan tidak ikut cakap. Malah dia sering ponteng kelas persediaan malam.

“Pada satu hari, kami pesan lagi supaya dia pergi ke kelas malam untuk belajar namun dia tetap berdegil. Cuma kali ini dia menghambur kata-kata kesat hingga membangkitkan kemarahan kami.

“Saya bersama tujuh rakan lain yang tidak dapat menahan sabar terus memukulnya. Oleh sebab dia tidak berhenti memaki, kami memukulnya secara berterusan,” cerita Arman.


ARMAN terlibat dalam kes buli di sekolah yang berakhir dengan kematian. - Gambar hiasan.


Pukul dengan batang penyapu

Selepas teruk dipukul, Lukman pengsan. Semasa warden asrama sampai, Lukman sudah tidak bernafas. Arman dan pembuli lain sangat terkejut sekali. Lukman disahkan meninggal dunia selepas tiba di hospital.

Arman lebih-lebih lagi tergamam. Semasa dibawa ke balai polis, perasaan Arman hanya Allah yang tahu.

Ibu bapa Arman begitu sedih kerana menyangka anak mereka masuk ke sekolah agama untuk menuntut ilmu sebaliknya menjadi seorang pembunuh.

“Saya tidak menyangka peristiwa itu sebegitu buruk. Tetapi sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna. Perkara itu sudah berlaku, saya tidak boleh memutar semula jarum jam ke belakang,” kesal Arman.

Berdasarkan keterangan saksi, Arman dan rakan-rakannya memukul Lukman menggunakan batang besi dan penyapu.

Mangsa juga ditendang manakala kepalanya dipijak. Lukman disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala dan perut.

Setelah turun naik mahkamah, Arman dan rakan-rakannya dihukum penjara selama diperkenankan Sultan kerana mereka masih di bawah umur semasa melakukan jenayah itu.

Pada mulanya Arman ditempatkan di Penjara Sungai Buloh sebelum dipindahkan ke Penjara Kajang.




Kali pertama memasuki penjara merupakan pengalaman yang amat menakutkan Arman.

“Saya tidak pernah masuk penjara. Bayangkan umur masih 17 tahun tetapi sudah menghuni bilik berjeriji besi yang terpisah terus daripada dunia luar.

“Macam-macam perasaan bermain di fikiran. Takut, sedih dan geram, semuanya bercampur. Tiga malam saya tidak dapat tidur kerana mengenangkan nasib.

“Tapi lama-kelamaan saya dapat terima kehidupan di sini. Kalau difikirkan sangat, boleh jadi gila. Cuma di sini kita perlu menghormati orang lain,” ujarnya.

Minta ampun

Arman menambah: “Saya juga tidak menyangka akan tinggal di sini.

“Rakan sekolah yang lain mungkin telah melanjutkan pelajaran, berkeluarga atau sedang meniti hidup dengan bahagia,” katanya yang berharap akan dibebaskan segera.

Kini, Arman banyak menghabiskan masa di penjara dengan mengulang kaji pelajaran serta melakukan aktiviti riadah.

“Saya juga lebih ingat kepada Allah,” katanya yang sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah dalam bidang perniagaan dengan kerjasama pihak penjara dan sebuah universiti swasta.

“Bezanya, pensyarah datang ke sini untuk mengajar dan saya perlu menyiapkan tugasan yang diberikan,” tambahnya.

Menjadi banduan bukan penamat kehidupan. Kesilapan lalu mengajar Arman erti penyesalan. Kekuatan diri dan semangat menjadi sandaran utamanya.

“Sekiranya saya dibebaskan kelak saya ingin meminta maaf kepada keluarga Lukman kerana mereka telah kehilangan anak akibat perbuatan saya dan rakan-rakan.

“Saya menyesal mereka kehilangan anak yang sangat mereka harapkan,” kata Arman jujur.

~kosmo

Jangan ghairah dedah maklumat peribadi

Nota: Kadang-kadang penulis berniat ikhlas tidak mahu menyembunyikan diri kerana mahu bertangungjawab terhadap tulisan sendiri. Ikhlas memang dituntut tetapi dalam masa yang sama perlu berhati-hati. Terlalu berterus terang sehingga setiap inci diri dapat dilihat orang lain itu sengaja menempah maut namanya. Misalnya seorang blogger dengan selamba memberi no telefon dan alamat lengkap. Tunjukkan pula gambar-gambar anak isteri/suami dan rumah. Itu maklumat yang sangat bahaya didedahkan. jika yang melihat dan membaca tidak ada niat buruk tidak mengapa. Jika penjenayah yang mencari-cari peluang, bagaimana?


KUALA LUMPUR - Para pekerja kerajaan dan swasta dinasihat agar tidak terlalu ghairah mendedahkan maklumat peribadi mereka di laman-laman sesawang rangkaian sosial Internet kerana bimbang disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohamed Shafie BP Mammal berkata, maklumat yang tidak sesuai terutama yang menjurus ke arah perbuatan negatif dikhuatiri menjadi rujukan kepada majikan atau ketua jabatan dalam menilai seseorang pekerja.

Menurutnya, perkara itu tidak mustahil berlaku memandangkan kebanyakan masyarakat di negara ini menganggap fungsi laman sesawang rangkaian sosial sebagai hiburan semata-mata sehingga sanggup memuat turun apa sahaja ke dalamnya.

~kosmo